Dengan Nama Allah

Semoga Allah membuka ruang hati untuk diisi dengan manfaat dan meletakkan DIA di tempat yang KUKUH dan TEGUH.Segala isi manfaat di dalam blog ini dibenarkan untuk di kongsi bersama,copy paste dan sebagainya.dengan menyatakan link blog ini.semoga Allah REDHA~!

JITIS

Sunday, June 9, 2013

Secebis Ingatan Sejuta Ketenangan

bismiLLAH

pagi ini mendung.
dalam santunan kasihNya.

[ cerpen : Secebis Ingatan Sejuta Ketenangan ]




EPILOG

Aisyah seorang yang periang. Dia mempunyai keluarga yang bahagia jua tempat tinggal yang selesa. Setiap mata yang memandangnya pasti menganggap bahawa dialah manusia yang paling bahagia di dunia. Hidupnya sentiasa didorong oleh enam ahli keluarga yang sentiasa mengambil berat kepadanya. Abah dan Ummi yang sentiasa prihatin, seorang abang dan kakak yang sentiasa memahami, jua adik perempuan dan adik lelakinya yang sentiasa membuatkan kehidupannya lebih ceria. Aisyah merupakan anak tengah dalam keluarga tersebut. segala keindahan dalam kehidupan ini mereka kongsikan bersama.

Setiap mata yang memandang itu menyangka teriknya matahari akan berpanjangan hingga ke petang, namun sebenarnya guruh petir dititipkan di waktu tengahari. meski Aisyah punya keluarga yang mencinta, dia merindui sesuatu yang sudah lama dia kehilangannya. Satu nikmat yang tidak dapat dibeli hatta dengan nyawa sekalipun.

Nikmat kesihatan.

SARAPAN

Setiap hujung minggu Restoran Pak Hassan menjadi pilihan utama mereka untuk bersarapan bersama di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan. Roti canai dan teh tarik yang lazat dan menyelerakan menjadi tarikan pelanggan untuk memilih Restoran Pak Hassan bagi menjamu selera. Mereka akan saling bercerita dan berkongsi pendapat sambil menikmati keenakan roti canai dan teh tarik Pak Hassan. Semua ahli keluarganya makan dengan begitu berselera kecuali Aisyah. Sakit yang dihadapinya turut menarik nikmat selera makan yang ada.

Abang Aisyah yang mesra dipanggil Along merenung roti canai yang tidak luak di hadapan Aisyah.

" Aisyah, habiskan roti canai tu. Membazir kan amalan syaitan. Kalau anak-anak Palestin nampak, berebut mereka nak roti canai tu, tahu? " Along bersuara.

Empat pasang mata memerhati Aisyah. Dia hanya membalas dengan senyuman. Bukan maksud di hatinya untuk membazir, tetapi tekaknya yang kerap terasa loya menyebabkan dia tidak mampu memaksa diri untuk menjamah roti canai tersebut.

" Ucu nak tak roti canai kakak? Mari kakak suapkan. " Aisyah berdalih dengan mempromosikan roti canainya yang tidak luak kepada adik bongsunya yang terkenal sebagai seorang yang paling kuat makan dalam keluarga. Mata Ucu bersinar-sinat melihat roti canai di atas pinggan milik kakaknya. Segera dia mengangguk kepala dengan laju dan tersenyum. Semua tergelak melihat gelagatnya. Segera Aisyah menyuapkan adik bongsu kesayangannya.

Dalam pada itu Ummi Aisyah menggenggam tangan suami tercintanya di bawah meja. Sebak terasa melihat anaknya yang begitu gagah melawan penyakit yang sentiasa menjemputnya tidak kira masa. Sudah pelbagai cara dan ikhtiar dilakukan untuk merawat penyakit Aisyah. Aisyah disahkan menghidap penyakit misteri yang masih belum ditemui ubatnya. Hati seorang ibu mana yang tidak runtun melihat anaknya yang semakin susut dan cengkung. Doa sentiasa di bibir agar anak-anaknya sentiasa bahagia dan dalam dakapan kasih sayangNya.

Encik Adam, ayah Aisyah seolah-olah mengerti perasaan isteri tersayangnya. Lalu dia mula bersuara.

" Anak-anak yang ayah sayang, tahu tak takdir itu apa? "

Masing-masing terdiam dan sedia mendengar kalam dari ayahanda. Masa yang diperuntukkan bersama bukan sekadar untuk mengisi kekosongan perut, tetapi jua untuk mengisi kekosongan hati setelah melalui hari-hari yang memenatkan selama seminggu.

" Takdir itu adalah sesuatu yang telah Allah tetapkan mengikut kadar usaha manusia jua mengikut aturan yang dirasakan paling sesuai untuk hambaNya. Takdir ada dua jenis, iaitu takdir yang boleh diubah dan takdir yang tidak boleh diubah. Semua takdir boleh diubah atas usaha manusia itu sendiri kecuali tiga perkara iaitu rezeki, jodoh dan kematian. Tiga perkara tersebut telah ditetapkan oleh Allah di luh mahfuz sejak awal lagi. "

Along dan Angah mengangguk-angguk kepala tanda setuju. Encik Adam menyambung.

" Contohnya, kalau Abah dan Ummi membuat pilihan calon isteri untuk Along, tetapi Along tidak bersetuju. Bermacam cara Along buat untuk tidak berkahwin dengan calon tersebut. Akhirnya Along kahwin juga dengan calon pilihan Abah dan Ummi dan hidup bahagia bersama isterinya. Walau macam mana pun cara Along menolak takdir itu sebelumnya, sekiranya memang perempuan itu menjadi jodoh Along, Along akan dapat berkahwin juga dengan dia akhirnya. "

Along tersengih-sengih sambil mengangkat kening dua kali. Semua tergelak melihat telatah Along. Encik Adam tersenyum.

" begitu jualah kalau kita diuji dengan apapun ujian. Sekiranya Allah masih belum takdirkan kita untuk menjumpai jalan keluar bagai masalah tersebut walaupun berbagai-bagai cara dilakukan, kita takkan dapat jumpa dengan penyelesaian masalah tersebut. "

" Jadi usaha kita buat itu sia-sia lah, abah? " Hanis, satu-satunya adik perempuan Aisyah bersuara. Encik Adam menggelengkan kepalanya sebagai jawapan awal kepada soalan anak kecilnya yang baru berumur lapan tahun. Meski fizikal dan umurnya masih kecil tetapi jiwanya begitu besar.

" Tidak, sayang. Sesungguhnya Allah mahu melihat berapa KENTAL seorang hamba untuk KEKAL meletakkan KEYAKINAN SEPENUHNYA kepadaNya. Dia mahu melihat momentum usaha yang dilakukan oleh hambaNya itu adalah ikhlas keranaNya atau semata-mata untuk melepaskan diri daripada dugaan yang bertimpa. "

" Hanis nak tahu tak? Setiap usaha yang kita lakukan untuk ubatkan Kak Aisyah ini tak pernah sia-sia walaupun Kak Aisyah masih belum lagi ada rezeki untuk sembuh. Mengapa? Kerana setiap usaha kita itu andai kita letakkan Allah sebagai tempat pengaduan pertama, maka setiap usaha kita itu dikira sebagai ibadah. Setiap usaha itu akan terselit keampunan dari Allah dan penyucian jiwa kita untuk sentiasa bersangka baik dengan Dia. "

Masing-masing mengangguk tanda setuju. Encik Adam memandang anak kesayangannya, Aisyah yang sering Allah uji dengan pelbagai ujian.

" Jadi, Aisyah kena kuat semangat. Selagi Abah dan Ummi hidup, doa dan usaha kami sentiasa berterusan untuk memastikan anak-anak kesayangan Abah dan Ummi ini semuanya dalam lindungan Allah dan sihat-sihat belaka. Anak- anak semua jangan lupa doakan juga Abah dan Ummi untuk terus kuat semangat demi membina keluarga yang diredhai Allah. Sesungguhnya segunung emas dan permata pun takkan dapat mengganti dengan indahnya pekerti anak soleh dan solehah seperti kamu semua. Doa-doa kamulah yang akan membantu Abah dan Ummi sewaktu kami sudah berada di alam kubur nanti. " Encik Adam menahan sebak.

Along hanya menunduk. Angah menggenggam erat tangan Aisyah yag sudah berkolam matanya. Hanis dan adik bongsunya, Razif yang masih kecil cuba untuk menghadamkan amanat ayahanda mereka.

Dalam kesumat hati Aisyah dia bersyukur dikurniakan keluarga yang sentiasa menyokongnya untuk terus bersemangat meneruskan kehidupan. Meskipun kesakitannya sering mengganggu aktiviti harian dan proses pembelajaran, perkara itu selamanya tidak akan menjadi alasan kepada diri untuk bermalas-malasan jua menjadi alasan untuk melepaskan tangan daripada tanggungjawab yang telah diamanahkan, iaiatu menuntut ilmu dengan berusaha sedaya mampu.

BELAJAR

" Ummi, seminggu lagi Aisyah akan masuk PASUM di Kuala Lumpur. Kalau sakit Aisyah makin teruk, Aisyah rasa macam nak tukar tempat belajar, biar belajar di pondok saja. " Luah Aisyah.

Umminya memandang anaknya dengan pandangan yang redup. Dia tahu disebalik ketenangan dan kegirangan anaknya terselit kesakitan yang tidak dapat dizahirkan.

" Usaha saja dulu ya, sayang. Allah takkan bebankan sesuatu kepada hambaNya melainkan Dia tahu insan yang dipilih itu benar-benar mampu. Setakat mana kemampuan Aisyah, manfaatkan sebaiknya. Ummi tahu anak Ummi mampu. Kekuatan itu sebenarnya ada dalam jiwa Aisyah. Carilah. Minta petunjuk kepada Allah agar diberi jalan keluar yang terbaik mengikut ketentuanNya. " Ummi mengusap kepala anaknya.

Runtun rasa hati. Siapa sanggup melihat anak sendiri dalam keadaan yang selalu diuji Tuhan? Sebagai seorang ibu kepada lima anak-anak kurnia Tuhan, Puan An-Nur selalu menyebut nama setiap anaknya agar sentiasa dijaga Tuhan dalan keberkatan dan redhaNya. Dia yakin, ujian yang Allah kurniakan ini adalah merupakan satu nikmat yang paling agung agar dirinya sentiasa meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah tanpa tercalar sedikitpun rasa keyakinan.

Waktu berlari meninggalkan manusia yang kealpaan dalam fitnah dunia, berkejaran bersama manusia yang sentiasa menagih redha Tuhannya. Aisyah menguatkan hati untuk menapak Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Baginya berada di tempat baru merupakan satu amanah baru yang harus digalas sebaiknya sebagai seorang pelajar, sahabat, anak yang taat.

Zikir berselimut dalam dada.
Langkah dipadu demi mencari satu kenikmatan hidup yang tak dapat dibeli dengan harta mahupun nyawa.

Nikmat BERIMAN dengan ALLAH dan RASULNYA.


MAJLIS SELAWAT

" Tiiit Tiiiit " Telefon bimbit jenama Nokia milik Aisyah menjerit menandakan ada mesej baru. Segera dia melihat mesej baru.

" Assalamualaikum. Aisyah, Sabtu minggu depan ada Majlis Selawat di Stadium Shah Alam. Along dah berpakat dengan Angah untuk pergi. Aisyah mahu ikut? " mesej yang tertera di skrin telefon.

Berbunga-bunga hatinya.
teringat pesanan doktor yang selalu merawatnya.

" Perbanyakkan selawat. Selawat itu penyejuk dan penyembuh. "

Segera dibalas mesej tersebut.

" Aisyah nak ikut. Tunggu Aisyah balik, ya. Insya Allah hujung minggu ini Aisyah balik. "
" 0kai. Belajar elok-elok. Ingat pesan Ayah dan Ummi. "

Senyuman terukir di bibir. Tahmid dan tasbih bergema dalam jiwa. Kesyukuran berganda kerana dikurniakan keluarga yang saling mengingatkan tentang kebesaranNya.

" Senyum-senyum nampak. Dapat mesej dari siapa tu? " Tanya Syaza, sahabat baik Aisyah sejak mereka menuntut ilmu di APIUM, Nilampuri.

" Along yang hantar mesej, ajak saya pergi majlis selawat hujung minggu ini. Awak nak ikut tak? "
Syaza hanya menggeleng dan tersenyum.

" Terima kasih, Aisyah. Hujung minggu ini saya akan bermalam di rumah kawan sekolah lama saya. Nadhirah namanya. Dia baru berpindah ke semenanjung. "

" Baiklah. Kita gerak sama-sama dari LRT ya? " Syaza mengangguk dan senyuman.

Aisyah duduk di atas katil. Terasa panas dan perit yang menjalar di ususnya. Ditekan perut dengan telapak tangan sambil tertunduk. Dibaca Al-Fatihah dan selawat lalu disapu disekitar perutnya yang sakit sambil memohon doa. Baru dia teringat nahawa sudah seminggu dirinya mengelak untuk tidak memakan ubat yang dibekalkan. Segera dia mencapai ubat di atas meja dan menjamah dua biji pil yang sememangnya mengakibatkan selera makannya hilang.

" Baru teringat nak makan ubat? " Syaza menepuk bahu Aisyah. Syaza sangat prihatin tentang kesihatan rakannya. Sememangnya seminggu ini dia tidak nampak Aisyah mengambil ubat seperti hari-hari biasa. Syaza begitu kenal dengan perangai Aisyah yang sering ponteng dari makan ubat.

Aisyah hanya senyum tawar. Sa;ahnya sendiri kerana malas untuk makan ubat tersebut. Bukan sekali ini saja dia menzahirkan kemalasan tersebut. Bahkan sebelum ini Aisyah berkali-kali pengsan kerana 'terlupa'untuk mengambil ubat yang perlu dimakan.

" Aisyah, awak tahu tak apa beza usaha dan ikhtiar? " Syaza mula membuka bicara. Aisyah sedia memasang telinga.

" Usaha itu memerlukan semangat dan tindakan. Ikhtiar itu memerlukan LEBIH usaha dan LEBIH tindakan. Awak sudah berusaha untuk mencari penawar penyakit dengan berjumpa doktor. Tapi itu tidak cukup, awak mesti usaha LEBIH, iaitu ikhtiar dengan makan ubat mengikut masa dan dos yang ditetapkan. Allah tahu awak kuat untuk menempuh dugaan ini. Namun kekuatan itu takkan datang sendiri melainkan awak sendiri yang mencipta kekuatan itu yang datang dari jiwa jua kesihatan jasad yang dijaga. " Syaza menggenggam tangan sahabatnya. Titisan air mata Aisyah tumpah jua.

" Terima kasih. Doakan saya kuat semangat. Jalan menuntut ilmu ini sahajalah cara untuk saya tidak terlalu memikirkan masalah kesihatan yang ada. "

Jari mulus Syaza segera menyeka air mata sahabatnya dari terus tumpah.."

" Aisyah, awak masih ingat lagi tak satu perkara yang awak pernah beritahu saya? Taqwa di sini "  Telapak tangan sahabatnya yang kemas digenggam diangkat dan diletakkan tepat di dada Aisyah

Aisyah mengangkat kening dua kali. Teraas degupan jantung yang masih bergema kalimah 'Rob..Rob'

Senyumannya terukir.

" Ya Syaza, taqwa ha huna "

Taqwa itu di hati.

*******



" Ikut rapat dengan Along. Ramai orang ni. Nanti kalau terpisah susah nak cari balik. " Along mengingatkan.

Aisyah dan Angah mengangguk. Adik kecil mereka, Hanis dan Razif juga turut serta.

" Along, tak apa kalau terpisah kejap. Nanti kita buat pengumuman la. Cakap kat pengumuman tu, siapa nampak orang muka macam kita, sila pulangkan balik. " Hanis berceloteh.

Berderai tawa mereka. Sememangnya wajah mereka adik beradik hampir sama. Along segera mendokong Razif, Angah memimpin tangan Hanis. Mereka berjalan seiringan menuju ke stadium shah alam yang sudah kedengaran qasidah pendahuluan diperdengarkan.

" Along, ramainya orang. Kenapa ramai sangat orang datang Along? " Razif pula bersuara.

Razif, adik bongsu yang baru berusia empat tahun itu juga rajin berceloteh seperti kakaknya, Hanis. Sejak kecil mereka diransang untuk aktif berkata-kata dan bertanya supaya sikap '├žurious' dapat ditanam dari kecil dan mudah dalam proses pembelajaran.

Along yang sedang mendokong Razif menjawa soalan satu-satunya adik lelaki yang disayangi.

" Ramai orang datang majlis selawat ini sebab semua berebut-rebut nak kumpul pahala untuk masuk syurga. Walaupun panas, tak selesa, tapi bukan kita saja yang ada di sini tau, dik. Malaikat yang kita tak nampak pun ada untuk menaungi majlis ni. Sebab tu la ramai orang pun kita rasa tenang, nyaman saja sebab Allah sayang dan suka orang-orang yang pergi majlis ilmu macam ni. "

Razif tersenyum. Manis.

" Wa. Nanti Allah akan lagi sayang la ye kalau kita selalu pergi program macam ni? Nanti Azif nak pergi lagi lah! Along janji bawa Azif tau! "

Along mengusap rambut adiknya sambil berdoa agar diberikan nikmat ketaatan sepanjang hidupnya. Usia kecil tetapi cepat menghadam apa erti kedupan yang lebih bermakna.

Yang lebih bahagia, dengan redhaNya.

Aisyah dan Angah mengambil tempat keluarga. Ayah dan Ummi tidak dapat bersama mereka kerana mereka ada mesyuarat surau pada malam itu. Along diamanahkan oleh ayah untuk membawa dan menjaga adik-adiknya. Along seorang abang yang sangat bertanggungjawab.

" Eh, Habib dah sampai. Tu dia.. " Along menunjukkan ke arah tengah stadium. Pengumuman dibuat supaya penonton yang hadir memberikan laluan kepada tetamu yang hadir.

Majlis selawat dimulakan dengan pembukaan Al-fatihah dan terus disambung dengan bacaan qasidah yang menyejukkan hati. Hanis dan Razif bertepuk-tepuk tangan saat qasidah ya hanana di dendangkan. Mereka sangat menyukai qasidah itu.

Kini qasidah merupakan fenomena hiburan Islam yang mampu menggantikan hiburan lain yang melalaikan. Bukan sekadar orang dewasa yang meminatinya, bahkan para remaja dan kanak-kanak jua tertarik dengan semangat dan ruh yang hadir saat sama-sama qasidah dilaungkan. Meluahkan rasa rindu dan sayang kepada rasulullah s.a.w melalui qasidah ini dapat mendidik jiwa dan hati untuk lebih taat kepadaNya. Meskipun isinya bukan seperti ibadah wajib, namun hiburan yang lebih mengisi dahaganya iman itu secara tidak langsung dapat menutup ruangan hati dari terbuka dengan perkara yang tidak diberkati.

Qasidah yang berterusan diselang denagn tasbih dan pujian kepada Tuhan serta selawat kepada nabi junjungan sangat mendamaikan jiwa setiap hadirin yang Alah pilih untuk menghadiri majlis selawat tersebut. Ketenangan yang sukat digambarkan, umpama angin yang sedang meniup lembut ke laman bunga yang kemudiannya menyebarkan haruman bunga yang ada.

" Allah, jadikanlah waktu yang kami lapangkan ini akan dicatat sebagai ibadah kepadaMu. " Angah membisik dalam hati. Dia bersyukur kerana Allah memilihnya untuk hadir ke majlis selawat ini. Sudah lama Angah ingin mengikuti majlis selawat tetapi tidak pernah kesampaian kerana Along tiada di rumah dan Ayah serta Ummi sibuk. Kali ini Allah mengizinkan dirinya untuk menjejaki majlis selawat bersama adik-beradiknya.

Satu nikmat yang takkan mampu dibayar hatta dengan nyawa.

Saat-saat akhir majlis selawat melabuhkan tirai, Habib syech diberi kesempatan untuk membicara sepatah kata.

"Alhamdulillah, Allah mengizinkan untuk kita berkumpul bersama di sini untuk melapangkan hati dengan berselawat ke atas junjungan rasulullah s.a.w jua kepada Allah yang Maha Esa. Sama-sama kita mendoakan agar Allah memberi kesembuhan kepada sesiapa yang diuji Allah, dalam kalangan para hadirin, keluarga, sahabat, seluruh muslimin dan muslimat di dunia. Moga Allah merahmati kita semua dan mengekalak kerinduan kita kepada Rasulullah s.a.w. Sentiasa lah berusaha untuk taat kepadaNya setiap masa. Semoga Allah merahmati setiap jasad yang hadir ke majlis selawat ini. Sekian. Assalamualaikum w.b.t "

Doa diiringi oleh habib syech sebagai tanda penutup tirai majlis selawat. Semua wajah terdunduk ke bumi saat meng amin kan bacaan doa daripada ulamak kabir rahimahullah.

Menitis air jernih dari kelopak mata. Sejernih ketabahan yang tak pernah berhenti dalam celahan jiwa Aisyah jua setiap ahli keluarganya. Hanis jua Razif tunduk dan meng amin kan bacaan doa itu dengan penuh kekhusyukan.

Malam itu menjadi pembuka bicara Aisyah untuk selalu berbaik sangka kepadaNya. Meski diuji dengan sesuatu yang orang lain tidak pernah terjangka, dia tahu Rasulullah s.a.w lebih hebat diuji. Oleh sebab itulah Rasulullah diangkat menjadi kekasih Allah, kerana hanya DIA yang bertakhta di hati saat rasulullah diuji dan dicaci.

Setiap kali Aisyah merasakan dirinya semakin lemah, secebis ingatan kepada junjungan nabi muhammad s.a.w akan membangkitkan sejuta ketenangan yang akan digarabnya menusuk ke jiwa. Dengan harapan hanya satu.

Setiap kesakitan yang dialami itu Allah meredhai segala.

Secebis ingatan, sejuta ketenangan, saat kerinduan bertaut kepada Kekasih Tuhan, Rasulullah s.a.w junjungan yang bertakhta dalam jiwa yang mampan.

Allahu a'lam

No comments:


Binnabil Huda - Unic
Mp3-Codes.com