Dengan Nama Allah

Semoga Allah membuka ruang hati untuk diisi dengan manfaat dan meletakkan DIA di tempat yang KUKUH dan TEGUH.Segala isi manfaat di dalam blog ini dibenarkan untuk di kongsi bersama,copy paste dan sebagainya.dengan menyatakan link blog ini.semoga Allah REDHA~!

JITIS

Friday, May 3, 2013

Fitrah Menuju Hidayah [ PART 1 ]

bismiLLAH.

Satu penulisan yang masih dalam pencubaan menuju Ilahi.

m0ga Allah merahmati setiap kalam yang bermadah.


EPILOG
Nama aku Fakhrul Muaz. Bonda dan keluarga memanggilku Fakhr. Aku masih teringat akan peristiwa yang berlaku padaku lima tahun lalu. Kisah yang membuatkan aku kenal erti pencipta sebenar. Kisah yang mengajar aku erti kehidupan yang Allah tunjukkan jalan pulang, atas usaha yang hamba itu lakukan. Pada mulanya aku hanya menyimpan pengalaman itu sebagai ingatan diri. Namun apabila kufikirkan kembali, alangkah moleknya andai aku mampu berkongsi pengalaman itu kepada manusia-manusia lain yang mungkin sedang dalam perjalanan pulang lantas memerlukan kekuatan. Tiada siapa tepat untukku meluahkan pengalaman ini. Namun bukan sia-sia aku menyimpan cerita ini. Sampai satu hari, Allah takdirkan aku bertemu dengannya.

Amirul Fathi.

******

[ BAB 1 ] AMIRUL FATHI

Seindah namanya, berbudi pekerti mulia. Hari pertama aku bertemu dengannya di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Nilampuri, Kelantan, aku tahu bahawa dia adalah seorang yang tabah jiwanya.
Bagaimana dapat aku ketahui sebegitu rupa?

Kerana aku ada pancaindera keenam kurnia Tuhan. Aku mampu untuk membaca firasat manusia dengan kuasa dan izin Tuhan. Firasat dan Ilham kurnia Allah itu bukan bermakna aku mampu mengawal takdirku. Namun aku berusaha menggunakannya untuk membawa manusia yang dalam kebuntuan mencari jalan pulang agar mendapat arah tujunya yang sebenar.

Aku ditakdirkan untuk menyambung pelajaran Asasi Pengajian Islam dengan Sains di Kelantan. Jauh aku merantau mencari ilmu. Bak kata Imam Syafie RahimahuLLAH, antara adab menuntut ilmu ialah berhijrah. Maka aku bertekad untuk menyambung pelajaran di sana. Demi mengejar redhaNya.

Ditakdirkan Tuhan, aku dan Amir mendapat jurusan pengajian yang sama. Masih aku ingat ramah suaranya menegur sahabat-sahabat baru setibanya kami pada hari pertama pendaftaran.

“ Assalamualaikum, sahabat..” Amirul menyapa mesra.

“ Waalaikumsalam warahmatullah...” Aku menyambut senyuman mesranya dengan bahagia.

“ Nama aku Amirul Fathi. Panggil sahaja aku Amir. Aku tinggal di Selangor.”

Aku terdiam seketika. Tanganku menyapa tangannya. Kami berjabat erat.

“ Nama aku Fakhrul Muaz. Panggil aku Fakhr. Aku menetap di Melaka, salam ukhuwah.”

Aku berbual dengannya, seolah-olah kami sudah lama berkenalan. Aku berasa senang dengan sikapnya yang terbuka, kuat berjenaka, namun santun budi bicaranya. Matanya aku renungi, aku melihat ada derita di sebalik perilaku bahagianya yang terlihat zahir. Aku tahu disebalik murahnya tawa dia, ada kesedihan yang menjelma. Mungkin belum masanya untuk dia bercerita kepadaku. Aku hanya diam seribu bicara, seperti tidak mengetahui apa-apa.

Kami berdua tersenyum atas perkenalan pertama. Pertemuan yang memanggil fitrahku kembali bertaut kepadaNya. Sejak itu, aku mengenal erti sahabat dalam doa. Sahabat. Yang sentiasa ada. Saat kau duka mahupun bahagia.

“ Kawan, macam mana pun kisah silam kita, Allah masih memberikan peluang taubat itu secerah mentari.” Kata azimat Amir yang aku pegang sehingga hari ini.

SURAT IBU

“ Assalamualaikum kepada semua pelajar baru, diharapkan agar semua dapat berkumpul di Dewan Johor selepas solat Zohor. Insya Allah kita akan mulakan minggu orentasi pada petang ini. Harap semua dapat memberi kerjasama.”

Aku melihat jam. Tepat sebelas pagi. Ayah dan Ibu terlebih dahulu berangkat pulang ke Selangor kerana Opah sedang sakit tenat. Tinggal aku di sini. Seorang diri. Mataku meliar melihat gelagat insan sekeliling. Ada yang bersama keluarga, ada yang mula mencari sahabat baru, tidak kurang juga ada yang menangis mungkin kerana tidak pernah berjauhan dengan keluarga. Aku mengambil surat yang terlipat kemas dalam poket baju kemejaku. 

Surat itu Ibu yang tulis, untuk aku. Ibu sudah tidak mampu bersuara kerana kemalangan yang menimpa kami 5 tahun lalu. Doktor mengesahkan bahawa peti suara ibu rosak lantas pinjaman suara yang Allah beri kepada ibu itu dipulangkan kembali kepada Allah Yang Satu. Sejak dari peristiwa itu, aku dan keluarga belajar bahasa isyarat bersama-sama agar mudah kami berkomunikasi bersama ibu.

Terdetik dalam hatiku, aku rindu suara ibu.

Ya. Suaranya yang membelai aku sewaktu aku kecil. Suaranya yang senantiasa mengenalkan aku tentang kebesaranNya, suara yang sentiasa menceriakan aku dikala aku berduka. Setelah ibu sudah tidak mampu untuk bersuara, apa sahaja pesanan yang ingin diberi kepada anak-anaknya, Ibu pasti akan menulis surat, seperti yang ibu berikan kepadaku hari ini. Aku memandang surat itu.

Sayu.

Tulisan kemas ibu dan ayat-ayatnya pasti memanah jiwa setiap pembaca kalimah saktinya itu. Meskipun ibu sudah tidak mampu bersuara seperti dahulu, namun tulisannya itu mampu bergema dalam jiwaku, agar aku sentiasa mengingati pesanannya. Lembut bicara kalamnya, dan kuat pedoman jiwanya. Sentiasa diberikan kepada anak-anak dan suami tercinta, agar sentiasa berusaha menjadi hamba yang setia di sisiNya.
Surat itu aku tatap lama sebelum kubuka. Aku mengambil nafas, menngucapkan Bismillah, pembuka setiap amalan di dunia.

“ buat putera kebanggaanku, Fakhrul Muaz.

Bahagia Ibu rasakan setelah mendapat tahu bahawa putera ibu ini dapat menyambung pelajarannya ke Universiti Malaya. Doa Ibu setiap malam agar putera-puteri Ibu sentiasa dalam rahmat Tuhan Yang Maha Pemurah dikabulkan hari ini. Meski jauh perjalanan kita dari Selangor ke bumi serambi mekah, Kelantan, namun jarak geografi itu tidak pernah memutuskan niat kita untuk menuntut ilmu. Allah mendidik Rasulullah s.a.w kental jiwanya dengan menyebarkan dakwah di Toif . Rasulullah mendidik sahabat-sahabatnya agar berhijrah untuk mengaplikasikan Islam serta menyebarkan kasih sayang Allah melalui agama yang mulia. Begitu jualah dirimu, duhai anakku. Allah mentakdirkan dirimu untuk tetap menuntut ilmu meski pelbagai dugaan menimpa kita.

Duhai puteraku,

Alangkah bahagia melihat dirimu gembira. Lebih bahagia andainya Fakhr berusaha sedaya upaya untuk menjadi anak yang soleh dan hamba yang taat padaNya. Tiada apa yang dapat Ibu dan Ayah bawa pulang ke Sana, melainkan doa tulus dari anak-anak yang soleh seperti Fakhr.

Akhir kalam, tuntutlah ilmu sebanyak-banyaknya wahai anakku, kerana ilmu itulah umpama air yang akan memadamkan maraknya api kejahilan. Tuntutlah ilmu Allah ini untuk mencari kebenaran. Kebenaran itulah yang akan mnghapuskan dendam kebatilan. Semoga ilmu yang bakal kau perolehi itu mampu dimanfaatkan untuk Islam..

Doakan Ibu sentiasa tabah menjadi hamba, ya sayang. Sampai di sini sahaja surat buat tatapan puteraku yang soleh. Moga Allah menguatkan dirimu untuk terus mentaati perintahNya.

Ibu yang sabar,

Bonda.

Aku melipat kembali surat itu. Meski sehelai kertas namun amanah dalam itu umpama gunung beratnya. Bukan mudah untuk menjadi hamba yang taat. Kerana Allah telah menjanjikan setiap ketaatan yang diperolehi oleh hamba itu pasti ada simpang jatuhnya. Namun simpang itu umpama pengukur kadar kekuatan dan penilai kompas niat agar tidak tersasar dari landasan yang sebenar.

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta."

 (Surah Al-Ankabut: 3-4) 

Biar apa manusia berbicara. Langkahku ini pasti. Jihadku pasti.Menuntut ilmu demi mencari kebenaran, menuju redha Ilahi.

Tuhan. Tuntunilah jalanku ini.

HALUAN SISWA

“ Kawan, apa yang kau termenung panjang itu?” 
Suara Amir kedengaran dari belakang. Aku menoleh. Dia menepuk mesra bahuku. Kerusi yang ada berhampiranku itu dia duduk.

“ Keluarga kau sudah pulang?” Aku memulakan bicara.

“ Erm. Alhamdulillah, baru lepas bergerak tadi.” Amir menjawab.

“ Oh.. Kau dapat bilik berapa? Dah masukkan barang dalam bilik?”

 Aku meramahkan diri.Aku tidak nampak pula Amir sewaktu aku mengemas barang di bilikku. Semua pelajar lelaki atau panggilan rasminya, Ikhwah ditempatkan di blok Al-ghazali manakala pelajar perempuan atau Akhowat di blok Al-Malik Khalid.

“ Aku dapat bilik 021. Kau?” Tanya Amir sambil memegang air 100Plus yang baru dibelinya
.
Aku mengeluarkan kunci bilik yang ada dalam kocek seluarku. Aku menyerahkan kepada Amir dan tersenyum.

“ Kita sebilik, kawan. Aku ternampak fail yang kau tinggalkan atas meja tadi.” Aku mengangkat kening dua kali kepadanya.

“ Kau ini saja nak kenakan aku kan..” Pantas tangan Amir menggeletek pinggang aku. Kami tertawa bersama.

Rupanya dari jauh aku diperhatikan oleh seseorang. Sesekali aku menoleh untuk membenarkan perasaan ini. Namun setiap kali aku menoleh, insan yang memerhatikan aku itu hilang dalam ramainya manusia yang berada disekitar Dewan Johor tersebut. Aku hanya menafikan perasaan itu dan terus berbual dengan Amir tentang persekolahan, keluarga dan sebagainya. Pelbagai topik yang kami sembangkan. Amir tak habis-habis membuat aku tidak kering gusi dengan telatah lucunya. Terbit rasa syukur di hati ini kerana Allah telah memberi petunjuk dan sahabat yang akan bersama-samaku dalam mengharungi liku-liku kehidupan dalam pencarian ilmu.

“ Allahu akbarullaahu akbar!”

Azan berkumandang. Perbualan aku dan Amir terhenti. Serentak kami berdiri, dan bersegera menuju ke Surau Al-Qasr untuk menunaikan solat fardhu Zohor. Seusai mengangkat wudhu’, solat sunat didirikan. Setelah itu saf dirapatkan dan diluruskan serta kewajipan itu didirikan.

Tenang.

Jiwa-jiwa yang sangat berkeinginan untuk menuntut ilmu berada satu saf yang rapat dan ampuh. Menyerahkan sanubari untuk dibentuk peribadi yang lebih mulia dengan menunaikan solat yang dituntut dalam agama.

Demi satu, mengharap redhaNya.

*****************

“ Perhatian kepada semua pelajar sem 1 sesi 2014/2015, antum semua diingatkan untuk berkumpul di Dewan Johor tepat jam 2 petang bagi memulakan program Haluan Siswa. Harap semua dapat beri kerjasama. Wallahu a’lam.”

Aku bersandar di dinding musolla. Mataku tepat memadang jam yang tergantung di hadapan musolla menunjukkan jam 1.45 petang. Masih ada masa untukku duduk dan bertafakur serta mengamalkan wirid yang menjadi pendinding diri. Sejak awal aku melangkah ke tempat ini, dapatku rasakan kehadiran makhluk Allah lain yang turut menjadi hamba Allah yang Maha Esa.

“ Mustafa! Tunggu!”

 terdengar suara jeritan dari luar. Segera langkahku laju melihat apa yang terjadi di luar musolla. Kelihatan seorang lelaki dewasa seperti mengejar pemuda seusia denganku. Suasana gamat seketika. Aku melihat fasilitator yang terdiri daripada kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar dan Jawatankuasa Kolej atau lebih dikenali sebagai MPP/JTK turut mengejar pemuda itu. Aku mula membaca surah Al-fatihah dan selawat tiga kali, lalu berdoa dan menghembuskan kepada pemuda itu dari jauh. Pemuda yang memakai kemeja ungu itu secara kebetulan tersungkur jatuh kerana tersadung kayu. Dua orang fasilitator segera mendapatkan lelaki bernama Mustafa itu sambil menenangkan dia.

“ Aku tak mahu belajar di sini! Aku nak belajar di Australia, tahu? Aku dapat tawaran di sana!” Getus Mustafa.

Pakcik yang menjerit nama pemuda berkemeja ungu tadi segera menghampirinya.

“ Mus, ini adalah wasiat ayah kamu. Ibumu juga mahu melihat kau menjadi anak yang soleh dan mahir dalam bidang agama. Manfaatkan kecerdikanmu ini untuk agama kita, nak.”

Banyak mata yang memerhati adegan itu. Setelah diberi nasihat dan ditenangkan oleh pakcik itu dan abang fasilitator, akhirnya Mustafa mengalah. Segera dia berdiri dan berlalu pergi bersama pakcik dan abang fasilitator. Suasana gamat kembali redha. Kelihatan ramai pelajar baru sem 1 sama seperti aku, berkemeja dan berbaju kurung ungu segera ke Dewan Johor kerana program Haluan Siswa akan bermula tidak lama lagi.

Kakiku menapak laju menuju ke Dewan Johor. Sedang aku berjalan sambil melihat sekeliling, bahuku ditepuk dari belakang.

“ Assalamualaikum saudara. Masih kenal suara aku?”

Aku menoleh.

“ Eh, kau???”


[ t0 be c0ntinued in syaa Allah! ]

Allahu a'lam

No comments:


Binnabil Huda - Unic
Mp3-Codes.com