Dengan Nama Allah

Semoga Allah membuka ruang hati untuk diisi dengan manfaat dan meletakkan DIA di tempat yang KUKUH dan TEGUH.Segala isi manfaat di dalam blog ini dibenarkan untuk di kongsi bersama,copy paste dan sebagainya.dengan menyatakan link blog ini.semoga Allah REDHA~!

JITIS

Wednesday, May 16, 2012

SIHAT sebelum SAKIT

bismiLLAH.
terasa ringan untuk mencoret.
pusingan kehidupan yang tiada henti.
sehingga satu saat mengakhiri
DI SANA nanti.

SIHAT SEBELUM SAKIT





Nurul melihat kelibat ramai manusia yang masing-masing menzahirkan riak muka sedih. kerusi di tempat menunggu penuh di isi manusia yang menantikan satu nikmat kurniaan Tuhan itu kembali kepada saudara mereka yang terlantar koma di ICU. Keluarga berbangsa cina itu menanti dengan penuh mengharap agar  keajaiban berlaku di saat saudara mereka yang bergantung kepada mesin hayat itu kembali sedar dan meneruskan hidup seperti mereka.

Persoalan bermain di minda Nurul. Apakah yang berlaku kepada pesakit yang koma itu? Lantas persoalan itu dilontarkan kepada makciknya yang sedang menjaga nenek di bilik ICU yang sama.

" Oh, orang Cina sebelah embah tu kah? Acik ada tanya kerabat dia tadi. Mereka kata punca dia koma kerana terhantuk kepala akibat tergelincir di bilik air. Muda lagi orangnya, baru berumur dalam 40-an."

Nurul menatap raut wajah kerabat pesakit itu. Masing-masing menyimpan kolam kesedihan dalam anak mata. Kadang-kadang kolam itu berkocak, dan bulu mata akan menyeka pecikan air tersebut. Syahdu terasa..

" Anak tunggu siapa?" Makcik bertudung biru yang duduk di sebelah kerusi Nurul memulakan perbualan.

" Oh, saya tunggu nenek saya, makcik. Ada di ICU. Makcik tunggu siapa di sini?"

" ICU di situ ke? Patut lah ruang duduk di sini penuh. Makcik tunggu suami pakcik buat dialysis. Makcik ni pun sedang tunggu giliran untuk buat dialisis." Kata makcik tersebut sambil menunjuk ke arah seorang nenek tua yang berkerusi roda di hadapannya.

Nurul tertarik untuk bertanya pengalaman makcik dan nenek tersebut selama mereka bergelumang dengan dunia dialisis ini.

" Berapa lama suami makcik sudah buat dialisis ini?"

" Dalam 2-3 tahun juga lah. Seminggu 3 kali."

" Nenek lagi lama, cu. Dah lebih 10 tahun nenek buat dialisis ni." Kata nenek berkerusi roda tersebut.

Bermula lah cerita seorang isteri yang setia dan taat kepada seorang suami yang rosak buah pinggangnya dan mmerlukan khidmat isteri tercinta untuk menemaninya setiap kali dialisis dilakukan. Nurul hanya mendengar dengan setia, mengharapkan ada ibrah di sebalik perkongsian itu.

" Makcik ni selalu lah teman pakcik pergi dialisis. Anak-anak pun dah besar-besar, ada keluarga sendiri, ada tanggungjawab sendiri. Terpaksa lah makcik yang hantar pakcik sendiri ke hospital tiga kali setiap minggu untuk buat dialisis ni."

" Nek pon sama. Anak-anak semua sudah tiada. Kamu kena bersyukur, masih lagi ada suami. Nek ni sudah seorang diri. Suami dah lama tiada. Anak-anak pun semua sibuk sendiri. Waktu nak dialisis ni sajalah anak ada yang mahu hantarkan." Luah nenek berkerusi roda itu.

" Hmm. itulah. Kalau suami sakit isteri sanggup tunggu, sanggup jaga. Tapi kalau isteri sakit? Tak semua suami yang sanggup jaga, sanggup teman isteri yang terlantar. Penat juga jadi perempuan ni. Banyak benar tanggungjawabnya. Nak kena jaga suami, jaga anak-anak." Makcik bertudung biru itu meluahkan raas yang terbuku di hatinya.

" Betul tu, nenek pun setuju. Tapi ada juga suami yang setia, yang jaga betul-betul isterinya yang sakit. Nak buat macam mana, kita perempuan ni memang benyak amanah dan tanggungjawab. Apa yang penting kita kena IKHLAS dan REDHA dengan apa yang terjadi kepada kita. Nenek ni pakai kerusi roda sebab patah kaki kanan selepas tergelincir dalam bilik air. Tiga bulan nek ditahan di dalam wad. Tangan kanan nek ini pun patah sama. Biasanya waktu dialisis tangan kanan ek ni yang dicucuk jarum. Tapi sebab patah haritu, juru rawat cucuk di bawah leher ini. Selepas tu dicucuk pula tangan kiri. Lepas dialisis, penatnya sangat terasa. Apabila dah sampai rumah macam dah tak larat mahu buka pintu rumah itu. Tapi dikuatkan juga hati ini untuk meneruskan hidup." Bicara nenek yang penuh hikmah dan redha di jiwa.



Tersentak Nurul. Buat kali kedua pertemuan penuh bermakna diaturkan Allah demi mengutip secebis ketabahan daripada ketabahan insan yang diuji. Perasaannya yang masih belum stabil akibat pemergian nenek sebelah bapanya yang kembali menemui Tuhan Maha Cinta dan keadaan nenek sebelah ibu yang kini kritikl di ICU itu seolah-olah terubat seketika, dengan perkongsian yang penuh bermakna ini.

" Hmm.. sabar saja lah, ya nek? Memang pusingan kehidupan kita ini tak lama. Mula-mula sihat, lama-lama dah tua nanti macam-macam la penyakit datang. Penyakit ini pun datang dari makanan yang kita makan. Nak, jagalah makan muda-muda ini. Makcik yang sudah tua ini dah tak boleh nak putarkan waktu kembali. Sebab tak jaga makan masa muda dahululah, macam-macam penyakit timbul apabila usia sudah senja. Dulu waktu muda-muda kuat lagi, boleh buat macam-macam kerja. Sekarang dah tua ini pergerakan dah terbatas akibat perbuatan kita juga yang tak jaga makan waktu muda-muda. Ingat tu, nak. jaga apa yang dimakan waktu muda-muda ni, ya. Jangan jadi macam makcik dan pakcik ini."

Nurul mengangguk kepalanya dan berazam dalam jiwa. Agar pemakanan di jaga dalam meniti kekuatan jasad untuk beribadah kepadaNya. Dengan kudrat yang ada, lontaran bicara sebarkan cintaNya bermula. Mengharapkan agar setiap telinga yang mendengar akan menerpa secebis kasih sayang Tuhan. Agar luka di jiwa dapat di sembuhkan, serta genggaman hamba terhadap tali Tuhannya dapat dieratkan.

" Makcik, nek.. wanita ini adalah ciptaan Allah yang paling mudah untuk masuk ke syurga. Sebab itulah macam-macam amanah dan tanggungjawab yang Allah beri kepada insan bernama wanita. Sakit yang kita rasa sekarang ini pun, adalah cara untuk Allah hapuskan dosa-dosa lalu kita, supaya dengannya kita dapat bertemu dengan Dia dalam keadaan suci tanpa dosa dengan izinNya. Asalkan kita SABAR dan REDHA dengan kehendak takdir yang telah Allah tentukan untuk kita, insyaAllah akan Dia ganjari kita dengan ganjaran yang lebih hebat dan tak di sangka-sangka di syurga. Biar kita menderita seketika di dunia ini, asalkan kita berpegang teguh dengan Allah dan tak menyekutukannya dengan apapun, Setiap titik air mata kita, setiap saat yang kita sakit, Allah akan menghitungnya. Alangkah beruntung kita, sakit atau susah macam mana pun, asalkan kita SABAR dan REDHA, Allah akan balas dengan balasan yang baik. Berkat Rahmat dan kasih sayangNya jua. Itulah antara keajaiban orang yang beriman. Saat duka atau kesusahan yang menimpa mereka, ketenangan akan tetap bersamanya, kerana YAKIN KEPADA ALLAH itu menjadi pengangan hidupnya."

Nurul merenung kedua insan tabah di hadapannya. Ingatannya melontar kepada wajah arwah nenek yang tenang, meninggalkan dunia dan meneruskan perjalanan ke alam barzakh sebelum bertemu dengan Tuhannya. Semoga husnul khotimah itu menjadi miliknya dan milik semua insan beriman di dunia. Dia menyambung bicara.

"Saki baki waktu yang ada ni, Allah masih beri kita peluang utnuk perbaiki ibadah yang mungkin selama ini kita lalaikan. Kematian itu tak kira masa, nek. Muda atau tua, kalau memang dalam takdir Tuhan dah tertulis dia akan mati pada waktu ini, hari ini, saat ini, takkan terlewat atau tercepat walaupun sesaat. Allah ada kata ini dalam Al-Quran."

Riak wajah kedua-dua insan itu kembali tenang.

" Terima kasih, nak. Moga Allah berkati kita semua."

Nurul mengoyak senyuman.

" InsyaAllah, makcik. Moga usaha kita ini Allah beri balasan baik dengan sebaik-baik ganjaran. Saya minta diri dulu, makcik. Nak pergi jenguk nenek dalam ICU. Moga Allah pertemukan kita di lain waktu. Seandainya tidak di dunia, mungkin di syurga SANA"



Sungguh Allah Maha Cinta. Saat getir dan pecah jiwa dek digoncang dengan sehebat-hebat goncangan, DIA titipkan dua insan tabah untuk sama mengukir iman dalam dada. Sehebat mana ujian yang Allah turunkan kepada hambaNya, adalah mengikut kekuatan dan kemampuan hamba itu sendiri. Dua pilihan yang sedia terbentang buat insan yang diuji. Adakah kembali taat berlari kepadaNya atau meninggalkan segala KeagunganNya dengan perasaan PUTUS ASA? Nurul merungkai kembali detik kepayahan hidupnya. Syukur terbit di dada kerana masih ada waktu untuknya berusaha menjadi hamba yang Taat.

Nurul teringat akan tazkirah Asar di bumi waqafan itu mengenai hadis rasulullah s.a.w berkenaan nikmat yang diabaikan.

Dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Ibn Abbas r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "ada dua nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia iaitu kesihatan dan waktu lapang."

Nurul melihat wajah insan yang sedang diuji itu. Seorang lelaki Cina yang sedang terlantar dan bergantung kepada mesin hayat untuk meneruskan hidupnya. Keadaan otaknya sudah mati menurut bicara jururawat di situ. Namun atas perbincangan keluarganya yang menunggu kaum kerabat dari Australia, UK dan lain-lain untuk bertemu dengannya buat kali terakhir, perancangan untuk menghentikan penggunaan mesin hayat pada pagi itu ditangguhkan pada waktu petang.

Hati Nurul berbicara. Begitu mudah seandainya Allah ingin mencabut nyawa hambaNya. sekadar JADI! maka jadilah. Hanya atas sebab tergelincir di dalam bilik air menyebabkan otak mati dan terlantar koma. Sungguh syahdu kerana insan itu belum lagi meng-Esakan Tuhan yang sepatutnya di sembah. Hanya doa mengiringi setiap detiknya agar diberi keajaiban berlaku. Semoga dengannya dia dapat mengenali hakikat sebenar Tuhan Maha Cinta, Allah Maha Satu.

Detik berlalu dengn pantas. Berkejaran dengan waktu kadang kala membuatkan jiwa penat. Masa akan terus berlari tanpa menoleh ke belakang. Hanya insan yang tiada matamat hidup akan ketinggalan jauh daripada larian waktu. Buat hati yang beriman akan sentiasa beriringan dalam larian bersama waktu, mengharapkan agar setiap detik waktunya diredhai Tuhannya.



Matahari mula tergelincir. Petang menyusul. Ruang menunggu penuh dengan kerabat pesakit Cina itu. Masing-masing menahan empangan air dari pecah dan mengalir melalui kelopak mata. Seluruh kaum kerabatnya bergerak ke bilik ICU untuk menatap wajah insan yang mereka sayangi sebelum diangkat pergi menemui Tuhan yang Maha Pasti. Doktor melakukan penerangan sebelum mesin hayat itu dipadamkan. Saat masanya tiba, berderailah air mata seluruh kerabatnya. Satu hamba Allah kembali ke pangkuan Tuhannya. Meninggalkan anak keluarga, sanak saudara, sahabat, harta, dunia, dan menuju ke alam barzakh yang bergema memanggilnya. Tiada lagi gelak ketawa kedengaran. Yang ada hanyalah tangisan mengiringi pemergian.

Nurul terasa sebak di dada. Adakh dirinya bersedia untuk bertemu dengan Tuhan Maha Penyayang? Adakah dengan suci atau berdaki dosa di jiwa? Tindakan kehidupan yang akan membuktikan usaha hambaNya untuk memilih akhir kehidupan yang baik mahupun buruk.

SIHAT SEBELUM SAKIT.
Adakah sudah kita manfaatkan masa sebaik-baiknya untuk menjadi hamba Allah yang taat?
dan menghargai dua nikmat yang telah Allah anugerahkan, tetapi kita sering abaikan?
Renung. Fikir Zikir

" Sebijak-bijak manusia adalah, mereka yang mengingati MATI..."

No comments:


Binnabil Huda - Unic
Mp3-Codes.com