Dengan Nama Allah

Semoga Allah membuka ruang hati untuk diisi dengan manfaat dan meletakkan DIA di tempat yang KUKUH dan TEGUH.Segala isi manfaat di dalam blog ini dibenarkan untuk di kongsi bersama,copy paste dan sebagainya.dengan menyatakan link blog ini.semoga Allah REDHA~!

JITIS

Friday, May 4, 2012

MAMA

bismiLLAH.
hari bahagia.
mentari tiba.
melihat sinarnya menembusi langit bumi.
memancarkan cahaya harapa buat manusia yang lena bersembunyi.
di sebalik tirai dosa pekerti.



MAMA


Pagi itu redup, seredup hati ini. Tidak sabar rasanya mahu bersua muka bersama sahabat tercinta yang jauh di mata. Minda menyunting pengalaman bersama yang kekal mekar di bumi waqafan itu. Indahnya rasa. Meski jasad jauh dari mata, namun ikatan hati itu terasa dalam setiap nafas yang terhela.

Jam menunjukkan pukul 8 pagi, waktu yang dijanji untuk bertemu di stesen KTM Shah Alam. Nurul, Adibah dan Zatie segera menuju ke tempat menunggu ketera api tiba. Lama menunggu, akhirnya kereta api 6 gerabak itu tiba jua. Koc baru yang sangat selesa itu pintunya dibuka secara automatik dan dalam berapa saat sahaja perut kereta api sudah penuh dengan manusia. Semua mahu menuju ke tempat yang berbeza. Yang pasti, semestinya ramai mahu mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa yang diadakan di PWTC. Tempat itulah menjadi tujuan kami.

Senyuman terkoyak saat pandangan menyapa sahabat-sahabat yang ada di dalam koc wanita itu. Semua bersalaman dan saling bertanya khabar. Ketika itu Nurul duduk di sebelah seorang makcik. Masing-masing berpandangan dan berbalas senyuman.

" Anak semua ni dari mana? Nak ke mana?" Makcik itu memulakan perbualan.

" Macam-macam negeri ada, makcik. Kami semua nak pergi ke pesta buku. Makcik mahu ke mana?" Nurul mengukir senyuman.

" Makcik daripada stesen Dato' Harun. Sebenarnya makcik mahu pergi ke pesta buku bersama suami. Kami bergerak menaiki motor. Tetapi malang tak berbau, motorsikal pakcik pancit. Terpaksa makcik pergi ke stesen KTM terdekat sementara pakcik pergi baiki motor pancit. Makcik pergi seorang diri lah  ni.."

" Ada hikmah tu, makcik" Nurul cuba untuk menenangkan makcik itu. Perasaan kasihan menyelinap dalam runag hatinya.

" Betul juga tu. Rancangnya nak pergi naik motor saja dengan pakcik. Senang. Anak pun tahu lah KL tu jalannya sentiasa sibuk."

Nurul mengangguk kepalanya tanda setuju.

" Anak ni umur berapa? Semua ni sedang belajar ke?"

" Erm.. kami semua baru lepas SPM.. nak pergi pesta buku sama-sama. Alang-alang nak jumpa sekali sebelum masuk U nanti."

"Owh.. semua ni sekolah mana dulu?"

" Sekolah bumi waqafan, makcik.."

" Makcik lihat tenang sahaja muka anak-anak ini, ya.."

jujur makcik itu meluahkan pandangannya. Nurul hanya tersenyum syukur.

" Anak makcik semua dah besar-besar. Sebab tu makcik ingat nak pergi dengan pakcik ke pesta buku tu naik motor sahaja. akhirnya makcik seorang sahaja yang pergi."

Saat itu hati seorang ibu inginkan seseorang untuk menjadi pendengarnya, maka kisah yang terpendam di hati pun diluahkan jernih..agar jiwanya tenang.



" Makcik ada seorang anak lelaki. Dia suka lepak malam-malam. Dulu selepas dia tamat SPM macam anak-anak ni, makcik ada tanya dia sama ada mahu sambung belajar atau terus kerja. Nak tahu dia jawab apa? Dia kata, dia tak mahu dua-dua itu. Sepanjang cuti menunggu keputusan SPM keluar, di rumah dia hanya makan dan tidur sahaja. Pada waktu malam dia keluar dengan kawan-kawannya untuk lepak dan naik motor ramai-ramai."

Nurul terkedu.

" Erm, syukur lah makcik, anak perempuan makcik tidak buat perangai macam anak lelaki makcik itu." Nurul cuba untuk menyelitkan rasa SYUKUR dalam kesusahan yang makcik itu alami.

" Anak perempuan senang sahaja dijaga. Tak ada masalah pun. Anak lelaki ini yang makcik risaukan."

Nurul tersentak lagi. Belum pernah dalam hidupnya dia bertemu dengan seorang ibu yang menyatakan bahawa menjaga anak perempuan itu mudah. Fitnah yang berleluasa kini mengundang wanita yang nipis imannya untuk terjebak dalam gejalan sosial yang tidak enak dilihat mata.

" Makcik patut bersyukur kerana anak lelaki makcik yang diuji sebegitu. Cuba bayangkan kalo anak perempuan makcik yang keluar, lepak-lepak, terjebak dalam pergaulan bebas, apa akan jadi pada dirinya? sekurang-kurangnya kalau masalah remaja lelaki ini hanya lepak-lepak begitu." monolog Nurul sendiriingin sahaja diluahkan, namun dia rasakan tidak perlu. Tugasnya sekarang adalah menjadi pendengar setia kepada hati seorang ibu itu.

" Satu hari, dia dapat surat tawaran belajar. Dia tak mahu juga sambung belajar. Makcik pujuk dan ajak dia pergi lihat sahaja pada hari pendaftaran Universiti itu. Pada hari pendafaran itu tiba-tiba dia meminta RM1000 pada makcik. Katanya dia sudah daftar. Terkejut makcik. Makcik pesan pada dia yang kami akan pergi lihat sahaja keadaan. Mungkin dia lihat ramai yang mendaftarkan diri, hatinya terikut untuk sambung belajar. Hari itu makcik pulang ke rumah jam 11 malam menguruskan keperluan dia. Manakan tidak kami pergi ke sana tanpa sebarang persediaan keperluan dirinya. Dia terburu-buru buat keputusan secara mengejut untuk belajar di situ, terpaksa lah makcik berulang-alik pergi ke kedai mencari barang keperluannya untuk duduk di hostel, pergi ke rumah untuk mengemaskan baju-bajunya, macam-macam. Hari itu makcik tak menang tangan. Nasib baik hari itu makcik bawa duit lebih, adalah RM1000 tu."

Makcik itu menghembus nafas berat, dan sambung bicaranya.

" Pakcik pula marah lah anak makcik tu sebab tak cakap awal-awal untuk daftar. Kalo betul-betul mahu daftar, boleh sediakan barang keperluan dia sebelum datang ke hari pendaftara tersebut. Tak adalah kelam kabut begini. Makcik redha saja. Keinginan dia untuk sambung belajar itu ada pun cukup gembira buat makcik. Biar makcik susah sekarang, asalkan anak-anak makcik itu bahagia."

Murninya hati seorang ibu. Sanggup menggadaikan perasaannya demi melihat anak-anaknya bahagia.

" Lepas itu, apa jadi makcik?" Nurul bertanya.

" Selepas dia masuk belajar di Universiti itu, makcik telefon dia tak angkat, makcik mesej dia tak balas. Semua kerana rasa egonya yang tinggi melangit. Kononnya rasa marah kerana ayahnya memarahi dirinya sewaktu hari pendaftaran itu. Marah macamana pun dia, kami beri wang saku setiap bulan. Kami pergi jenguk dia setiap minggu bawa makanan dengan mengharap agar marahnya terhadap kami hilang dan dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Akhirnya kemarahannya reda. Gembira rasa makcik."

Nurul menghadam perjalanan hidup seorang ibu itu. Begitu sucinya kasih sayang yang terbina daripada seorang ibu. Anak remaja kini sibuk untuk mengagungkan kata-kata ibu bapa tidak memahami jiwa remaja mereka. Apakah kita sebagai seorang anak pernah cuba untuk merasai sedikit pengorbanan yang ibu bapa kita curahkan kepada anak-anaknya selama ini? Insaf menyelinap dalam ruang hatinya. Adakah dirinya sudah menjadi seorang anak yang baik? Soalan itu dilontarkan ke kaca egonya seorang anak. Dan ego itu akhirnya hancur berderai.

" Selepas 2 semester dia belajar, tiba-tiba dia kata mahu berhenti belajar. Dia mahu bekerja untuk membeli motor. Makcik ada cakap elok-elok dengan dia yang makcik dan pakcik boleh belikan motor untuknya. Tapi dia tak mahu. Katanya dia mahu membeli motor besar."

" Makcik, saya rasa mungkin dia jadi begitu sebab dia salah pilih kawan. Kalau dia dapat berkawan dengan orang yang baik, dia takkan jadi begitu."

Makcik itu mengangguk-angguk.

" Betul tu. Memang pengaruh kawan pun. Makcik ingat apabila dia sambung belajar, dia akan usaha untuk belajar sungguh-sungguh. Kami ni bukannya orang senang. Kami orang susah. Anak pun bukan dia seorang, dia ada lagi adik-adik yang juga perlukan khidmat makcik sebagai seorang ibu. Makcik ada juga tanya kawan sebiliknya, katanya setiap malam dia keluar melepak dengan kawan-kawan 'sekepala' dengannya."

Makcik itu tunduk. Terasa sebak di dadanya. Nurul merenung jauh. Betapa ramai sebenarnya remaja belia kini yang kecelaruan identiti. Contohnya seperti anak makcik itu tadi. Pada awalnya tidak mahu belajar mahupun bekerja selepas tamat SPM. Maka apakah tujuan sebenar dia meluangkan masa hidupnya itu? 65 peratus daipada remaja belia kini kecelaruan identiti yang mungkin keadaannya sama seperti anak remaja makcik itu tadi.

Nurul cuba memainkan peranannya untuk menyentuh hati seorang insan bergelar ibu yang ada di sebelahnya itu untuk kembali melihat satu ujian itu sebagai rahmat dan kasih sayang Allah. Itulah yang sebenarnya diperlukan oleh masyarakat kini.

" Makcik, mungkin semua ini ada hikmahnya. Sebenarnya, Allah sudah mengaturkan kehidupan kita dari awal kelahiran sehingga saat kematian dengan perancangan yang TERBAIK untuk hambaNya. Mungkin jalan yang Allah tunjuk pada makcik ini derita seperti yang makcik rasa sekarang. Namun makcik kena sedar, doa seorang ibu itu sangat mustajab. Jangan lupa ukirkan nama anak-anak makcik itu dalam setiap doa makcik. Doa itu senjata, makcik. Bila- bila saja Allah boleh membukakan pintu hati anak makcik itu."



Makcik tersebut merenung lantai KTM. matanya berkaca-kaca.

" Makcik selalu doakan anak-anak makcik. Terutamanya anak lelaki makcik tu. Dulu tak mahu belajar, tak mahu bekerja. Tiba-tiba buat keputusan sendiri untuk sambung belajar. Apabila sudah diberi peluang untuk belajar, mahu berhenti pula. Sekarang dia sedang buat rayuan untuk sambung belajar pula. Makcik pun tak faham apa yang dia fikirkan."

Nurul kaget mendengarkannya. Seorang remaja yang mengikut kehendak hati sesuka hati sehingga menyusahkan keluarga? Tidakkah dia memikirkan begitu susahnya seorang ibu untuk cuba memahami situasi anaknya itu? sayang, kesusahan ibu itu sebelah mata pun seorang anak tidak melihatnya. Nurul kasihan melihat makcik itu. Makcik itu ketandusan kasih-sayang anak-anak kepadanya. Jangan menyangkakan bahawa hanya anak-anak sahaja yang perlukan kasih sayang ibu bapa. Hakikatnya ibu bapa juga AMAT MENGHARAPKAN kasih sayang anak-anak terhadap diri mereka.

"Adakah cukup aku menzahirkan kasih sayang kepada mama dan abah?" Nurul bermonolog sendiri. Terasa empangan air matanya hendak pecah bila-bila masa sahaja. Dia cuba menahan sebaik mungkin, dan cuba membelai hati luka seorang ibu yang berada di sebelahnya itu dengan kasih sayang Allah yang Maha Cinta.

" Makcik, dalam ramai ibu di dunia ini, makcik antara ibu yang Allah tinggikan darjatnya. Makcik tahu kenapa? Kerana Allah ada berkata bahawa apabila seorang hambaNya diberi ujian, akan diangkat beberapa darjat di sisiNya. Beruntung makcik, kerana saat makcik terasa sedih mengenangkan keadaan keluarga makcik, Allah ada dekat dengan makcik, mengubat hati makcik yang luka, menenangkan jiwa makcik yang hiba. Dari mana makcik dapat kekuatan itu, kalau tidak daripada Allah? Maka kepada Allah jugalah kita serahkan segala masalah kita, kita menjadi hamba yang baik padaNya, supaya dengannya redha itu tercipta untuk kita, dan kita akan bahagia menjalani kehidupan di dunia ini, meski derita."

Nurul mengganggam tangan makcik itu dengan erat. Manyinarkan secebis harapan dari jutaan rahmat Tuhan yang setiap detik menjelma dalam kehidupan seorang hamba, namun kita sering tidak dapat melihatnya, dek dosa yang mengaburi jiwa. Makcik itu membalas genggaman erat Nurul. Terasa kasih sayang Tuhan itu mengalir. Deras.

" Kalau boleh, antara langkah paling awal untuk makcik bantu usaha baiki akhlak anak makcik itu, sementara anak makcik masih ada di rumah, makcik perhatikan solat fardhunya. kalau boleh setiap kali masuk waktu, nasihat dia untuk pergi ke surau atau masjid terdekat, biar hatinya dekat dengan masjid. Paling kurang pun sebagai langkah awal jangan biarkan dia tinggal waktu solat walaupun sekali. Kerana solat itu sangat memainkan peranan penting dalam pembinaan jati diri seorang manusia. Elok solatnya, indahlah akhlak dan peribadinya. Buruk solatnya, tercela jugalah sikap dan peribadinya. Saya yakin makcik mampu untuk menghadapi semua ini. Yakinlah makcik, hujan lebat yang turun itu pun, pasti akan hadir pelangi setelah cahaya mentari terbias kembali memayungi bumi.."

Nurul memberikan kata semangat kepada makcik itu. Kata-kata yang diharapkan dapat mengikat kembali tali hubungan seorang hamba kepada Tuhan Robbul jalil dengan lebih kukuh lagi. Sampai satu saat, derita yang dirasai itu menjadi satu kebahagiaan buat dirinya, sebagai seorang hamba.

"Stesen Putra, Stesen Putra" Pengumuman kedengaran bahawa destinasi yang ingin dituju sudah tiba, Itu baru destinasi yang kita tuju di dunia. Apakah cukup  bekalan untuk mencapai destinasi yang PASTI di SANA?

" Terima kasih, nak. Moga Allah berkati pertemuan singkat kita ini." Makcik dan Nurul bersalaman dan saling berpelukan. dalam detik hati Nurul amat bersyukur kerana Allah telah merangka kehidupannya dengan sangat indah. Ditetapkan olehNya untuk bertemu dengan seorang ibu dan mendengar isi hati sebenar seorang ibu yang sayangkan anak-anaknya, dan sanggup berkorban jiwa raga serta PERASAAN demi melihat anak-anaknya bahagia.



cukupkah kita menjadi seorang anak yang soleh/ah?
cukupkah kita menzahirkan kasih sayang kepada kedua ibu bapa kita?
cukupkah dalam setiap bekalan doa itu kita titipkan ukiran nama ibu bapa kita, supaya pengorbanan mereka di dunia di bayar dengan syurga di SANA?
cukupkah USAHA kita untuk MEMBAHAGIAKAN mereka sebelum kita menutup mata, yang kelopak mata itu tidak akan terbuka, SELAMA-LAMANYA?

oh mama.
bulan lima adalah bulan terindah untukmu.
jatuhnya bulan lima itu hari ibu, hari kejadianmu, hari guru.
cukup meraikan dirimu yang punya amanah sebagai seorang guru, ibu, dan HAMBA Yang Satu.
namun aku sebagai anak,
masih belum mampu untuk mengukirkan bahagia untukmu di dunia.
ku harap doa yang ku titipkan setiap detik, setiap ketika untukmu
dengan Kasih sayangNya kau mampu bahagia. DI SANA.

*ain tau mama takkan baca ni sebab mama tak berapa reti sangat buka internet.horhor. tapi ain harap mama n abah antara manusia yang Allah angkat untuk berada di Jannah firdausil A'LA...

p/s = buat insan bergelar ANAK, cerita di atas adalah kisah benar dan diedit jalan ceritanya untuk iktibar kita bersama. semoga kita dapat menjadi seorang anak yang dapat menyumbang saham ibu bapa di dunia dan AKHIRAT SANA...

A'llahu a'lam..

3 comments:

aqilahmad said...

sob3..huuu..
kak ain dlm ktm buat drama sebabak plak eihh..

in sya Allah..sama2 j anak solehah!

khaIRul_UmmAh said...

InsyaAllaaahh.moga2 :)

khaIRul_UmmAh said...

InsyaAllaaahh.moga2 :)


Binnabil Huda - Unic
Mp3-Codes.com